Monday, January 25, 2010

RESPON Cikgu Azmi TERHADAP SOALAN EMAIL DARI WARTAWAN MALAYSIAKINI Nigel Aw


ISU KALIMAH ALLAH
17HB JANUARI 2010
(1) Berlaku percanggahan pendapat berhubung penggunaan kalimah Allah di kalangan beberapa kumpulan umat Islam di negara, apa pendirian encik/Dr/ustaz?
Pada hakikatnya tiada percanggahan. Semua kumpulan Islam bersatu dalam penegasan Allah itu adalah Tuhan Yang Esa. Semua bertegas bahawa tiada makna Allah yang lain dari Islam yang boleh diterima. Semua bersetuju bahawa ini adalah isu yang menyentuh soal aqidah yang tidak boleh dikompromi samasekali , Nama Allah itu bukan istilah generik tetapi istilah khas yang bermaksud Tuhan yang Esa yang tidak boleh disamakan atau dikaitkan dengan mana-mana makhluq. Semua kumpulan Islam bersepakat dalam hal ini.Perbezaan hanya dalam isu melihat penggunaan kalimah Allah dalam konteks realiti Malaysia yang majoriti umat Islam. Penggunaannya lebih banyak mengelirukan , boleh mencetuskan pertelingkahan yang merugikan keharmonian antara penganut beragama dinegara ini.
2) Ada pihak mencadangkan orang Kristian wajar menggunakan ‘Allah’ secara lisan (dalam doa atau upacara keagamaan) tetapi tidak boleh/tidak sesuai untuk penerbitan. Ulasan encik/Dr/ustaz?
Orang Kristian sendiri akan keliru . Tiada maksud Allah yang sama dengan konsep triniti yang dianuti oleh penganut Kristian. Mana mungkin mendoakan dengan nama Allah yang Esa tetapi bermaksud Allah Anak , Allah Bapa dan Allah Ruhul qudus. Jika dalam bible hanya diterjemah Tuhan yang mengguna maksud konsep Trinity yang lebih tepat dengan agama Kristian kenapa mahu mengguna kalimah Allah yang ada pertelagahan konsep dengan Islam. Adakah paderi Kristian dan umat Kristian tidak yakin dengan Tuhan dalam konsep Triniti mereka?.
(3) Kalimah Allah didakwa telah lama digunakan di Malaysia oleh masyarakat Kristian, termasuk dalam penterjemahan kitab suci mereka, kenapa baru sekarang perkara ini diangkat sebagai isu yang penuh kontroversi?
Saya boleh balikkan soalan itu. Jika selama ini tidakpun ada penggunaan Allah dalam Herald dan tidak pula diguna dalam mana-mana penerbitan Kristian yang dibenarkan oleh KDN di negara ini , manakala pengajaran Kristian tetap boleh berjalan lancar untuk penganutnya , kenapa sekarang mahu guna kalimah Allah?
Saudara kata didakwa kalimah Allah diguna dalam kitab mereka itu tidak benar. Tiada kalimah Allah dalam Old Testiment mahupun dalam New Testiment yang diterjemah yang guna kalimah Allah di negara ini. Bible yang guna terjemahan ke dalam bahasa Melayu adalah tertakluk kepada undang-undang yang ada di Malaysia . Ia menjadi kontroversi kerana undang-undang negara di 10 negeri adalah jelas menghadkan kalimah-kalimah tertentu yang esklusif untuk Islam tetapi pihak Katholik tiba-tiba mahu menggunakannya. Jadi permohonan ini adalah perkara yang baru bukan kerana penggunaan yang telah lama dipakai. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai enakmen kawalan penggunaan istilah tetap tertakluk kepada kuasa KDYMM YDP Agong. Ketetapan dari KDYMM YDP Agong yang menjujung Islam sebagai agama negara ini diperlu dipatuhi.
(4) Sejauh mana berasas/tidak berasas kecurigaan masyarakat Islam terhadap orang Kristian berhubung perkataan Allah? Adakah penggunaan kalimah Allah oleh Kristian benar-benar menyimpan tujuan tersembunyi untuk menukar agma orang Islam?
Pertanyaan saya , setelah sekian lama kalimah Allah tidak diguna dalam kitab injil terjemahan bahasa Melayu di negara ini , malah sejak kedatangan penjajah Portugis datang ke tanah air ini pada 1511 , kenapa tiba-tiba sekarang pihak Katholik beriya-iya pula hendak guna? Bukankan sejarah penjajah Kristen ada kaitan dengan agenda Kristianisasi? Apa tujuan sebenar pihak Katholik ini?
Jika jelas ia boleh membawa kontroversi kepada majoriti umat Islam di negara ini , ada apa hasrat Katholik mengguna kalimah Allah? Jika kalimah Tuhan itu benar-benar menepati maksud triniti dalam Kristian dan ia lebih mudah diterima oleh penganut Kristian berbahasa Melayu di negara ini , kenapa tidak guna Tuhan sahaja. Sasaran siapa yang Katholik hendak tujukan untuk guna kalimah Allah ini.? Bukankah penggunaan Allah yang lebih jelas dan lebih lazim diguna oleh umat Islam sebagai Allah yang Maha Esa akan menimbulkan kekeliruan dikalangan penganut Kristian sendiri yang mahu memahamkan Allah itu dalam konsep triniti?
(5) Adakah insiden gangguan terhadap gereja (sejak Jumaat, 8 Jan 2009) merupakan permulaan kepada konflik lebih serius/tegang antara Islam dan Kristian di Malaysia? Adakah kontroversi/ketegangan ini berkaitan dengan isu-isu lain antara Kristian dan Islam di seluruh dunia (atau tiada kaitannya)?
Islam sudah lama dicemburui oleh misionari Kristian. Sejarah panjang era penjajahan Eropah-Kristian untuk membawa Gospel, Glory dan Gold ke rantau negara-negara umat Islam tidak dapat dinafikan. Kini Islam di asak sebagai ugama pengganas dan Muslim diwarnai sebagai penganut yang fanatik. Kempen Islamofobia untuk mengambarkan Islam sebagai agama yang ganas dilakukan dalam pelbagai fron dalam pelbagai versi. Apa saja reaksi umat Islam dilihat sebagai sikap fanatik dan esktremis. Padahal umat Islam kerap diletak dikandang salah dan diasak untuk bertahan. Malangnya sikap defensif umat Islam terus diambil kesempatan untuk dituduh menafikan hak dan kebebasan beragama oleh golongan bukan Islam.
Sentimen ini sangat dirasai oleh kebanyakan umat Islam. Gangguan kepada gereja hanyalah provokasi mereka yang mencari kesempatan untuk mengujudkan ketegangan. Menuding kepada mana-mana pihak tanpa bukti akan merumitkan lagi jalan untuk mencari penyelesaian. Ini tidak harus ditafsir sebagai pertembungan antara agama di negara ini tetapi adalah pertembungan antara mereka yang berdegil untuk tidak mahu menerima kenyataan dan kemarahan mereka yang merasa dicabar.
(6) Bagaimana kerajaan/ NGO Islam harus menangani masalah ini? Apakah “formula kompromi” yang sesuai untuk memuaskan hati golongan Muslim dan Kristian di negara ini?
Pihak Katholik perlu menerima realiti dan hakikat setting negara ini yang dihuni oleh majoriti umat Islam. Dengan berkeras untuk meneruskan desakan mengguna Kalimah Allah dilihat sebagai mencabar wibawa umat islam dan Islam itu sendiri. Sejak dari dulu kehadhiran pelbagai agama di negara ini diterima dengan baik dengan mengharapkan pihak bukan Islam menghargai sensitiviti umat Islam. Ini termasuk sensitiviti terhadap sesuatu yang sangat suci dan sangat akrab dengan pegangan pokok umat Islam iaitu Allah yang Maha Esa. Ini pihak penyebar agama Kristian faham sejak dari zaman penjajah lagi. Lantaran itu sesudah beratus tahun Tanah Melayu ini di jajah , pihak Kristian faham kedudukan Islam dan pegangan umat Islam yang perlu dihormati .
Formula yang jelas perlu diguna oleh semua pihak ialah kembali kepada persepakatan asal mengenai dasar saling hormat dan saling menjaga sensitiviti antara agama. Ini juga termasuk menerima hakikat umat Islam adalah penganut terbesar di negara ini sejak dari sebelum penjajahan . Lantaran itu kedudukan istimewa Islam dan hak umat Islam untuk menjaga kesucian Islam tidak harus dicabar.
Segala perbincangan atau dialog perlu menjadikan ini sebagai landasan. Kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sudah cukup baik untuk menjaga keharmonian antara agama hendaklah dihormati. Hak dan bidangkuasa Raja-raja Melayu yang bertangungjawab menjaga kesucian dan kedudukan istimewa Islam dinegara ini juga hendaklah dihormati.
(7) Patutkan satu “majlis keharmonian antara agama” diwujudkan (atau, hidupkan semual cadangan Inter-Faith Council atau IFC) sebagai platform dialog bagi mencari titik persefahaman antara pelbagai agama di Malaysia? Bagaimanakah isu-isu yang sesuai dibincangkan, format perbincangan dan penyertaannya?
Keharmonian sudah wujud sejak lama . Persefahaman mengenai apa yang boleh dan apa yang perlu dihormati sudah sedia dimaklumi oleh penganut antara agama di negara ini. Pihak berkuasa dan pemimpin-pemimpin masyarakat boleh berbincang dari masa ke semasa jika timbul sesuatu isu. Mekanisme itu sudah wujud semada dalam bentuk formal mahupun tidak formal. Jadi tidak perlu di wujudkan majlis kekal seperti IFC . Jika timbul isu yang perlu dirundingkan maka diadakan perundingan. Pihak kerajaan boleh mengguna wibawanya untuk menganjurkan perbincangan dikalangan pemimpin-pemimpin dan ilmuan antara agama. Perbincangan biar berlaku dengan lebih terhormat dan jangan dilontar dalam media sehingga mereka yang kurang berilmu dalam agama juga mahu turut berdebat.

(8) Enakmen yang melarang penggunaan kalimah Allah (dan sejumlah lagi perkataan) telah diluluskan di 10 negeri sejak tahun 1988 lagi. Kenapa ia tidak dilaksanakan untuk menangani isu ini? Wajarkah peruntukan seumpama itu diperkenalkan (enacted) di peringkat persekutuan?
Islam adalah agama Persekutuan. Mengikut tafsiran umum segala dasar yang digubal dinegara ini tidak boleh bercanggah dengan Islam . Ini termasuk membenarkan penganut agama lain mengamalkan agama masing-masing asal tidak menggangu sensitiviti penganut agama lain. Enakmen mengenai Islam diwujudkan di negeri-negeri dibawah Raja-raja Melayu. Bagi peringkat persekutuan , kedudukan Islam juga tidak ada beza dengan negeri-negeri lain. Oleh itu Perkara 3 , 4 dan 11 yang memperuntukan kebebasan mengamalkan agama lain dengan aman serta menghadkan penyebaran agama lain kepada orang Islam , meliputi juga soal menjaga kedudukan Islam diperingkat persekutuan. Soal akta yang sedemikian rupa tidak ujud diperingkat persekutuan tidak harus menjadi penghalang kerana KDYMM YDP Agong maseh mempunyai bidangkuasa untuk mengawal supaya kedudukan agama Islam tidak dicabar oleh mana-mana pihak.

Jadi memang enakmen yang ujud di 10 negeri itu boleh diguna untuk mengatasi isu ini. Tetapi perbicaraan yang berlaku ini ialah soal kuasa Menteri KDN untuk melarang penggunaan kalimah Allah yang dicabar oleh pihak penerbit Herald. Walaupun begitu , yang dikaitkan dengan kuasa Menteri tersebut tidak dapat dipisahkan dari menjaga kedudukan Islam yang istimewa dalam negara. Larangan KDN untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah tidak sepatutnya dilihat hanya secara “legalistic” akan tetapi hendaklah dilihat dari sudut budaya , sensitiviti , dan realiti dalam masyarakat.

(9) Wajarkah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan ke atas pihak-pihak yang membangkitkan sentimen agama (sama ada Kristian atau Islam) dalam isu Allah?
Tidak wajar . Undang-undang lain yang sedia ada untuk mendakwa dan menghukum sesorang yang disabit dengan kesalahan sudah mencukupi. ISA tidak perlu kerana ia boleh menambah ketidakpuasan hati lebih ramai lagi. Kerajaan perlu dilihat telus dan menegakkan keadilan sebagaimana sepatutnya dalam kerangka Perlembagaan persekutuan yang telah disepakati.
Nigel Aw
Wartawan
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment