Sunday, January 3, 2010

Pendirian MAIM berkenaan Isu Penggunaan Kalimah Allah oleh Agama Lain

MAIM menyedari:

1. Akhbar The Herald Catholic Weekly versi Bahasa Malaysia telah menggunakan perkataan “Allah” sebagai terjemahan kepada perkataan “God”;

2. Wujud Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam, suatu undang-undang yang digubal di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan di sepuluh (10) buah negeri, yang terkandung larangan menggunakan kalimah “Allah” oleh agama lain;

3. Enakmen ini belum digubal bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak;

4. Wujud arahan eksekutif melarang The Herald Catholic Weekly menggunakan kalimah “Allah”;

5. Isu ini telah dirujuk kepada mahkamah; dan

6. Perkataan “Allah” digunakan di dalam kitab orang Sikh, Granth Sahib.

MAIM juga menyedari:

1. Wujud usaha di pihak kerajaan untuk menggubal satu undang-undang persekutuan mengenai perkara-perkara seperti yang disentuh di dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam;

2. Wujud usaha untuk meminta campur tangan Majlis Raja-Raja; dan

3. Wujud usaha oleh pihak lain untuk mengemukakan lebih banyak isu-isu seperti ini ke mahkamah.

MAIM juga menyedari:

1. Wujud perbezaan pandangan di kalangan umat Islam sama ada penggunaan kalimah “Allah” oleh agama lain dilarang oleh Islam;

2. Penggunaan perkataan “Allah” yang diusahakan oleh pihak agama Catholic hanya dalam keadaan terpilih dan bukan secara menyeluruh menterjemahkan “God” kepada “Allah”; dan

3. Kerajaan Malaysia sebagai pemerintah berkuasa menggubal apa jua undang-undang untuk menjaga kepentingan negara dan rakyatnya

Oleh itu MAIM berpandangan:

1. Penggunaan perkataan “Allah” oleh agama-agama lain akan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam, terutamanya para remaja dan belia;

2. Ia juga akan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam dan boleh menimbulkan sensitiviti jika Allah dikaitkan dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan sifatNya serta bertentangan dengan konsep Tauhid dan aqidah Islam;

3. Adalah wajar bagi kerajaan mengambil sebarang langkah untuk mengelakkan kekeliruan dan keresahan di kalangan umat Islam; dan

4. Umat Islam dan badan-badan Islam perlu mengetepikan perbezaan pandangan tentang sama ada penggunaan kalimah “Allah” dilarang oleh Islam dan bersatu diatas dasar menjaga kepentingan umat (maslahah) serta menjauhi keburukan (mafsadah).

Dengan itu MAIM berpendirian:

1. Menyokong usaha melarang kalimah “Allah” digunakan oleh agama-agama lain.

2. Isu-isu berkaitan dengan Agama Islam dirujuk hanya kepada Mahkamah Syari’ah.

3. Usaha-usaha perlu dibuat untuk mengukuhkan pemahaman Islam umumnya dan aqidah Islam khususnya di kalangan umat Islam.


Pendirian ini dipersetujui di dalam Mesyuarat Khas JK Pusat MAIM pada 13 Mac 2008.

Mesyuarat juga memutuskan untuk mengeluarkan satu kenyataan media dan menggalakkan ahli-ahli MAIM secara sendirian mengeluarkan kenyataan media masing-masing, menyatakan pendirian yang sama.

--
Muhammad Abdullah Nicholas Sylvester
Pengerusi
JK Dakwah JIM Pusat
Lot 300.3 Lorong Selangor
Pusat Bandar Melawati
53100 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: +06-03-41089669
Fax: +06-03-4107- 1754

No comments:

Post a Comment