Tuesday, January 5, 2010

KENYATAAN MEDIA JIM


KENYATAAN MEDIA

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

5 Januari 2010

Isu Kalimah Allah Sangat Sensitif

1. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009, membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Catholic Herald Weekly, telah membangkitkan sentimen keagamaan. Keputusan itu juga bercanggah dengan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam yang telah digazetkan di sepuluh (10) negeri.

2. Oleh kerana keresahan ini timbul ekoran keputusan mahkamah, JIM berpandangan penyelesaiannya juga harus dicari melalui proses undang-undang. JIM menyokong usaha segera kerajaan untuk merayu dan untuk memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

3. JIM menyeru semua pihak supaya memberi peluang proses undang-undang (due process) berjalan tanpa tekanan mana-mana pihak. JIM juga menyeru semua pihak agar memastikan respon kepada keputusan mahkamah ini tidak menjerumuskan Malaysia kepada kekacauan di antara penganut-penganut agama.

4. JIM juga menyeru pihak agama Katolik untuk berhati-hati dalam menggunakan kebenaran mahkamah ini, kerana umat Islam amat sensitif jika nama Allah dikaitkan dengan perkara yang tidak selayaknya bagi Allah. Isu ini jauh lebih sensitif dari isu kartun Nabi Muhammad yang disiarkan oleh media di Denmark dahulu.

5. JIM berharap isu ini diselesaikan dengan segera supaya ia tidak membawa kepada polarisasi di kalangan rakyat Malaysia, hingga memberi kesan jangka panjang.

6. JIM juga berharap satu lagi pihak, difahamkan Sidang Injil Borneo, yang akan membuat tuntutan yang sama di mahkamah supaya menangguhkannya sehingga kes yang ada sekarang selesai.

Zaid bin Kamaruddin

Presiden

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

No comments:

Post a Comment