Friday, February 5, 2010

Syiah dan Pemalsuan Hadis

Dipetik daripada Himpunan Risalah Dr. Asri Zainul Abidin

Pendahuluan

Sepanjang sejarah pemalsuan hadith, banyak golongan yang dapat dikenal pasti sebagai penyumbang utama dalam mengadakan hadith-hadith dusta atau palsu. Golongan ahli bid ‘ah yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan ghulat (pelampau) daripada puak Syiah dan sufi banyak menyumbang ke arah gerakan pemalsuan ini. Dalam kertas kerja yang ringkas ini saya akan cuba memperkatakan mengenai hubungkait golongan syiah rafidah dengan pemalsuan hadith.

Sebenarnya, tajuk ini begitu luas untuk diperkatakan. Namun kertas kerja begitu ringkas. Justeru pastinya ia tidak merangkumi semua tuntutan tajuk, sebaliknya sekadar merangkumi tajuk-tajuk yang munasabah dengan masa yang diberikan semasa pembentangan dalam seminar ini


Kewajipan Memastikan Kesahihan Maklumat Mengenai Islam

Hujah-hujah agama yang berpijak kepada hadith-hadith hendaklah dipastikan kethabitannya. Hanya hadith-hadith yang thabit1 sahaja yang boleh dijadikan hujah dalam mempertahankan sesuatu pandangan atau pegangan agama. Oleh itu Ahli Sunnah menjadikan al-tathabbut1 atau membuat kepastian dalam sesuatu fakta, adalah asas dalam pengambilan sesuatu maklumat atau menghukum orang lain. Tujuannya, agar; pertama: kita tidak menokok tambah agama yang telah disempurnakan oleh Allah sebelum wafat NabiNya. Kedua; tidak menghukum orang lain secara zalim. Ini berteraskan firman Allah Azza wa Jalla (Surah al-Hujurat: 6) :

(terjemahannya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Dengan jelas maksud ayat ini bermaksud: “Apabila datang kepada kamu orang fasiq dengan sesuatu berita maka hendaklah kamu selidiki kesahihannya, pastikannya dan jangan tergesa-gesa dalam menerimanya. Ini agar kamu tidak menuduh sesuatu kesalahan ke atas golongan yang tidak bersalah disebabkan kejahilan kamu”.2

Maka sesiapa yang pasti kefasikannya maka khabarnya ditolak. Kata al-Qadi Abu Bakr ibn al-‘Arabi (w. 543H): "Sesiapa yang pasti kefasikannya maka batallah perkataannya (hilang kredibiliti) di dalam menyampaikan berita. Ini adalah ijma'. Sebabnya ialah berita itu adalah suatu amanah dan kefasikan pula adalah sebab yang membatalkannya3.


Haram Meriwayat Hadith Palsu

Pada asalnya sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. samada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ianya disebut sebagai al-hadith. Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah dengan perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadith palsu ialah: “Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara dusta, ianya tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” 4

Nabi s.a.w bersabda5 :

(maksudnya) “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. Hadith ini adalah mutawatir6.

Dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut7 :

“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka”

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-`Asqalani ( meninggal 852H) dalam mengulas hadith ini: “Ianya merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda. Maksudnya: Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)8.

Bahkan baginda S.AW. menyebut9 :

(maksudnya): Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadith-hadith yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar).

Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya atau membacanya kepada khalayak tanpa diterangkan kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya”10.

Justeru itu mengenali ilmu hadith khasnya masalah sanad adalah sangat penting. Sanad adalah rangkaian para perawi (periwayat atau pembawa riwayat) yang menghubungkan kepada sesuatu ungkapan. Samada ianya adalah ungkapan Nabi s.a.w. atau selain baginda. Mengkaji sanad bererti mengkaji sejauh manakah kesinambungan sesuatu riwayat daripada seorang perawi kepada perawi yang lain sehingga kepada pengucapnya, dan dalam masa yang sama mengkaji latarbelakang para perawi. Di samping beberapa aspek yang lain yang diambil berat oleh para pengkaji hadith atau riwayat.

Kata `Abd Allah bin al-Mubarak11 :

“Sanad itu adalah sebahagian dari al-Din, kalaulah tidak kerana sanad sesiapa pun akan bercakap apa sahaja yang dia mahu”

Bagi mereka yang tidak berkemampuan, hendaklah merujuk kepada ahli ilmu di dalam bidang ini.


Maksud Syi’ah Rafidah

Syiah pada asalnya bermaksud puak yang mengangkat ahli al-Bait dan mengutamakan mereka melebihi segala para sahabah yang lain tanpa mengutuk, mencerca atau mengkafirkan sahabah12. Syah ‘Abd al-‘Aziz al-Dahlawi (w. 1239H) menamakannya sebagai al-Syi‘ah al-Tafdiliyyah13.

Adapun rafidah bermaksud satu puak daripada Syiah yang mengutamakan ‘Ali dan keturunannya atas segala sahabah terutamanya Abu Bakr dan ‘Umar serta membenci dan mencerca mereka. Beriman dengan kemaksuman para imam mereka. Menyamakan para imam dengan Nabi s.a.w – kecuali pada kedudukan kenabian14 -, percaya kembalinya al-Mahdi yang kononnya ghaib dan belum mati. Bagi mazhab mereka ini asas-asas yang tersendiri yang begitu berbeza dengan ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah15.


Riwayat Ahli Bid ‘ah

Oleh kerana syiah adalah satu puak daripada ahli bidah, maka adalah wajar untuk kita mengetahui kedudukan riwayat ahli bidah.

Para ulama hadith sepakat menolak riwayat dan khabar berita para penyeru kepada ajaran bid`ahnya16. Maka khabar golongan bid`ah17 tidak boleh diterima melainkan memenuhi syarat-syarat berikut18:

1. Hendaklah pembawa khabar itu bersifat adil dan dabit19.

2. Tidak menjadi kafir dengan bid`ahnya20.

3. Tidak menjadi pendakwah kepada bid`ahnya.

4. Hendak hadith yang diriwayatkan itu tidak berkaitan dengan bid`ahnya (menyokong bid`ahnya).

Perlu diketahui golongan Syiah Rafidah biasa tidak terlepas daripada dua keadaan ; samada bid‘ah mereka membawa kekufuran atau mereka penyeru kepada bid‘ah yang mereka pegang. Kedua-dua ini menyebabkan riwayat mereka ditolak. Kata al-Zu’bi : “Punca penolakan riwayat ahli bid ‘ah di sisi hadith ada dua perkara:

1. 1.Bid ‘ah yang kufur
2. 2.Seruan kepada bid ‘ah dan menghalalkan pendustaan.

Maka golongan rafidah, setiap mereka tidak sunyi daripada dua penyakit ini”21.

Kata Ibn Hibban (w. 354): “Riwayat para penyeru kepada bid ‘ah tidak boleh dijadikan hujah di sisi kesemua para imam. Aku tidak dapati adanya khilaf antara mereka dalam hal ini”22.

Maka seseorang wajib memerhati dengan teliti sumber hadith-hadith yang dipegangkannya dalam membina pendangan atau pemikiran mengenai Islam. Kata Muhammad bin Sirin (wafat 110H) berkata:

"Sesungguhnya ilmu ini (mengenai Al-Quran dan al-Sunnah) adalah din (agama). Oleh itu perhatilah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu."

Golongan ahli bid'ah yang menyeru kepada kekarutan mereka akan mencipta akan memalsukan hadith-hadith Nabi s.a.w bagi menyokong pegangan mereka. Melalui merekalah tersebarnya hadith-hadith palsu atau disebut hadith maudu' yang akhir mengelirukan orang ramai. Abd Allah bin Yazid al-Maqri` menceritakan bahawa seorang lelaki ahli bid'ah apabila bertaubat berkata: "Lihatlah daripada siapa kamu mengambil hadith ini, sesungguhnya kami dahulunya apabila berpendapat dengan satu pandangan, maka kami ciptakan untuk pandangan itu satu hadith"25.


Rawi Syi‘ah

Jika terdapat riwayat-riwayat Syiah yang diterima pakai oleh para ulama hadith sekalipun mereka menyebut fulan syi‘i sebenarnya mereka maksud sikapnya yang begitu melebihkan ‘Ali tanpa mencerca sahabah lain. Secara umumnya para imam mengambil dan mengiktiraf kesahihan riwayat mereka, termasuklah al-Bukhari.

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) dalam Hadu al-Sari26: “Al-Tasyaiyu’ (berpegang dengan pegangan syiah) ialah cintakan ‘Ali dan melebihkannya atas sekelian sahabah. Sesiapa yang mengutamakannya melebihi Abu Bakr dan ‘Umar maka dia melampau dalam syiahnya. Dia dipanggil rafidi. Jika tidak, maka dia syi‘ i. Sekiranya dia menambahnya dengan cercaan dan penyataan kebencian maka dia melampau dalam rafidahnya. Sekiranya dia beriktikad dengan raj‘ah27 ke dunia maka dia lebih dahsyat dalam kemelampauannya”28.

Dalam "Tahzib al-Tahzib" al-Hafizd Ibn Hajar menyebut: “Syiah pada kebiasaan golongan yang terdahulu ialah iktikad keutamaan ‘Ali melebihi ‘Uthman dan ‘Ali pihak yang benar dalam peperangan-peperangannya29, sementara pihak yang menyanggahi adalah salah. Namun mereka mengutama dan melebihkan Abu Bakr dan ‘Umar (ke atas sekelian sahabah). Boleh jadi juga sebahagian mereka beriktikad bahawa ‘Ali adalah seafdhal-afdhal makhluk selepas RasululLah s.a.w30. Sekiranya yang beriktikad demikian seorang yang warak, kuat beragama, benar dan mujtahid, maka riwayatnya tidak ditolak hanya disebabkan itu. Apatah lagi jika dia tidak menyeru kepadanya. Adapun syi‘ah pada kebiasaan golongan kebelakangan ialah rafidah tulen, maka tidak diterima riwayat seorang rafidi yang melampau dan tiada sebarang kemuliaan”31.

Kata al-Imam al-Zahabi (w. 748): “Sesungguhnya bid ‘ah ada dua bahagian; (pertama) bid‘ah kecil; seperti melampau dalam tasyaiyu’ (berpegang kepada syiah)32, atau berpegang kepada syiah tanpa melampau dan menyimpang. Ini banyak berlaku pada tabi‘iin dan atba’ al-tabi‘iin. Di samping mereka kuat beragama, warak dan benar. Jika ditolak riwayat mereka, nescaya akan hilanglah sejumlah besar hadith-hadith nabawi. Ini satu kerosakan yang nyata. (kedua) bid‘ah besar; berpegang dengan rafidah secara lengkap dan melampau dengannya, menghina Abu Bakr dan ‘Umar r.a.huma dan menyeru kepada perkara tersebut. Golongan ini tidak boleh dijadikan hujah dan tiada sebarang kemuliaan”33.

Namun perlu diingat bahawa ‘Ali bin Abi Talib pada zamannya melarang seseorang melebihkan dirinya daripada Abu Bakr dan ‘Umar. Ini seperti ucapan yang masyhur34 :

“Jangan seseorang melebihkan aku ke atas Abu Bakr dan ‘Umar, atau jika aku dapati seseorang melebihkan aku ke atas Abu Bakr dan ‘Umar aku akan sebatkannya dengan sebatan hukuman pendusta”.


Syiah Rafidah Dan Pemalsuan Hadith

Sesiapa yang mengkaji hadith akan mendapati puak syiah rafidah adalah antara penyumbang terbesar dalam pemalsuan hadith. Hadith-hadith yang mereka palsukan itu berkait dengan unsur-unsur yang membela mazhab dan ajaran mereka. Kata Ibn Taimiyyah (w. 728H): “Ahli ilmu di dalam periwayatan dan sanad bersepakat bahawa golongan Rafidah adalah puak yang paling pendusta dan pendustaan itu adalah sesuatu yang telah lama pada mereka”35. Dengan itu para imam-imam kaum muslimin yang besar memberi amaran tentang pembohongan di dalam riwayat-riwayat Syiah Rafidah ini, antaranya;

- Syarik bin 'Abd Allah36 (F 9(/ 'DDG (w. 177H) beliau pernah menyatakan: Aku mengambil ilmu daripada setiap yang aku temui, kecuali Rafidah. Ini kerana mereka memalsukan hadith dan menganggapnya (hadith-hadith palsu tersebut) sebagai agama”37.

- Al-Imam Malik bin Anas apabila ditanya mengenai golongan Rafidah, beliau menyebut: “Jangan engkau bercakap dengan mereka dan jangan engkau meriwayatkan daripada mereka kerana mereka berdusta”38.

- Al-Imam al-Syafi‘i (w. 204H): “Aku tidak pernah melihat ahl al-Ahwa` 39 satu kaum yang lebih kuat berdusta daripada Rafidah”40.

- Kata Yazid bin Harun41: “Ditulis hadith daripada setiap ahli bid‘ah – sekiranya dia tidak menyeru kepada bid‘ah - kecuali golongan rafidah, kerana mereka pendusta”42.

Para pengkaji membuat keputusan menolak riwayat mereka bukan sekadar berpandukan ucapan yang dinyatakan oleh para imam yang muktabar, tetapi juga berdasarkan semakan terhadap hadith-hadith yang diriwayatkan oleh golongan syiah rafidah. Mereka akhirnya membuat kesimpulan seperti yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h: bahawa sesiapa yang meneliti penulisan para ulama al-Jarh wa al-Ta’dil43 dalam kitab-kitab mereka mendapati bahawa golongan syiah adalah puak yang paling banyak melakukan pembohongan44.

Demikian juga apa yang disebut oleh Dr. Al-Syeikh Mustafa al-Siba`i45: “Al-Firaq al-Siyasiyyah (puak-puak politik yang berpecah) telah tenggelam dalam lumpur kotor pendustaan menggunakan nama RasululLah s.a.w samada banyak atau sedikit. Golongan rafidah adalah puak yang paling banyak membuat pendustaan”46.


Pendustaan Adalah Nyawa Hidup Syiah

Kata Ibn Taimiyyah: “Adapun Syi‘ah mereka banyak sengaja melakukan pembohongan. Mereka mengakuinya dimana mereka menyatakan “agama kami taqiyyah, iaitu seseorang mereka menyatakan dengan lidahnya bertentangan dengan apa yang ada dalam hati mereka. Ini sebenarnya pendustaan dan nifaq (sifat munafik)47.

Sehingga ke hari ini pembohongan adalah asas dan nyawa kehidupan tokoh-tokoh syiah. Buku-buku aliran syiah yang ditulis penuh dengan pembohongan fakta. Mereka akan meletakkan pada rujukan atau nota kaki mereka sumber-sumber buku aliran ahli sunnah secara bohong dan tipu. Apa yang mereka sebut itu kebanyakan tidak ada, atau tidak seperti yang didakwa. Mereka biasa akan memalsukan perkara yang tidak wujud, atau menyelewengkan maksudnya, atau memetik secara tidak amanah yang menjadikan sesiapa yang tidak melihat kepada sumber asal yang akan terkeliru. Demikian itulah syiah rafidah.


Maksud sunnah di sisi Syiah

Sebelum kita meneruskan perbincangan, kita perlu jelas apakah yang dimaksudkan dengan hadith di sisi Syiah. Seperti mana yang kita tahu, Ahli Sunnah menta’rifkan hadith sebagai “apa yang disandarkan Nabi s.a.w samada perkataan, pebuatan atau pengakuan”. Inilah yang dinyatakan para ulama ahli sunnah dalam kitab-kitab mereka.

Namun hal ini berbeza dengan syiah, bagi syiah apa yang disandarkan kepada para imam mereka sama tarafnya dengan hadith dan anggap sebagai hadith yang dipegang. Inilah yang akan kita dapati apabila membaca kitab-kitab Syiah, di mana kebanyakan hadith-hadithnya hanya terhenti sekadar ucapan para imam bukannya ucapan Nabi s.a.w. Para imam syiah imamiyyah yang dianggap maksum adalah sebanyak dua belas orang iaitu:

1. ‘Ali bin Abi Talib r.a. (23 sebelum Hijrah-40H). Mereka memangilnya sebagai ‘Ali al-Murtada.

2. Al-Hasan bin ‘Ali r.ahuma. (2H-50H). Mereka menggelarnya al-Mujtaba.

3. Al-Husain bin ‘Ali r.ahuma (3H-61H). Mereka menggelarnya al-Syahid atau juga Sayyid al-Syuhada (penghulu para syuhada).

4. ‘Ali Zain al-‘Abidin bin al-Husain (38H-95H). Dipanggil al-Sajjad.

5. Muhammad bin ‘Ali (57H-114H). Dipanggil al-Baqir.

6. Ja’far bin Muhammad (83H-148H). Dipanggil al-Sadiq.

7. Musa bin Ja’far (128H-183H). Dipanggil al-Kazim.

8. ‘Ali bin Musa (148H-203H). Dipanggil al-Rida.

9. Muhammad bin ‘Ali (195H-220H). Dipanggil al-Jawwad.

10. ‘Ali bin Muhammad (212H-254H). Dipanggil al-Hadi.

11. Al-Hasan bin ‘Ali, (332H-360H). Dipanggil al-‘Askari.

12. Muhammad ibn al-Hasan48 (256H- ) Mereka menganggapnya sebagai al-Mahdi atau mereka mereka memanggil juga al-Mahdi al-Qaim bi al-Hujjah. Dia sebenarnya meninggal semasa kecil ketika berumur 5 tahun pada tahun 261H, namun mereka menganggap hilang bersembunyi dan akan muncul semula sebagai al-Mahdi yang dijanjikan.

Bagi Syiah, ucapan-ucapan yang kononnya bersumberkan para imam ini juga sama dengan hadith Nabi s.a.w tanpa ada sebarang perbezaan. Maka dengan ini tokoh syiah Dr. Hussain ‘Ali Mahfuz ketika memberi kata aluan untuk kitab hadith utama Syiah "Usul al-Kafi" karangan al-Kulaini (w. 328/329H) menyebut: “Al-Kulaini beriltizam menyebut setiap hadith di dalam al-Kafi – kecuali sedikit - semua rangkaian sanad antara di antaranya dengan imam yang maksum”49. Maksudnya ialah yang dikatakan hadith apa yang sampai kepada imam mereka yang dianggap maksum.

Maka dengan itu ta’rif hadith sahih pada mereka ialah “setiap yang bersambung riwayatnya dengan imam yang maksum melalui perantaraan rawi yang adil beraliran imamiyyah”50. Sementara hadith hasan ialah apa yang bersambung dengan imam yang maksum melalui perantaraan seorang yang beraliran imamiyyah yang dipuji tetapi tiada bukti keadilannya”51.

Dengan ini mereka menyama tarafkan ucapan Nabi s.a.w dengan para imam. Bahkan riwayat-riwayat rekaan dalam Usul al-Kafi meletakkan ilmu para imam setaraf atau melebihi Nabi Muhammad s.a.w. Contoh-contoh tajuk bab yang diletakkan oleh al-Kulaini:

Contoh setaraf Nabi s.a.w:

(Bab: Mukjizat-mukjizat para nabi yang ada pada para imam)

(Bab: Sesungguhnya Allah tidak mengajar NabiNya sesuatu ilmu, melainkan diperintahkan baginda agar mengajarkannya kepada amir al-Mu`minin (Saiyidina Ali). Sesungguhnya Ali adalah sekutu Nabi s.a.w dalam ilmu.

Contoh melebihi Nabi s.a.w:

(Bab: Sesungguhnya para imam mewarisi ilmu Nabi Muhammad s.a.w, juga kesemua para nabi dan wasiy55 sebelum mereka)

Dengan ini bererti ilmu para imam mereka melebihi ilmu Nabi Muhammad s.a.w, kerana mereka mempunyai ilmu semua nabi a.s.

Justeru itu kata al-Khomeini: “Antara perkara yang wajib dipegang dalam mazhab kita bahawa bagi para imam kita kedudukan yang tidak dicapai oleh malaikat yang hampir, atau nabi yang diutuskan”56.


Fokus-Fokus Pemalsuan Syiah

Seperti yang disebutkan sebelum ini, golongan ahli bid‘ah seperti syiah ini akan memalsukan hadith-hadith Nabi s.a.w. demi menyokong ajaran mereka yang sesat. Mereka akan memalsukan sebanyak mungkin hadith-hadith Nabi s.a.w atau ucapan orang yang dianggap berpengaruh demi membuat bukti penyaksian dusta atas apa yang mereka dakwa. Sekiranya apa yang mereka dakwa benar, tentu mereka tidak memerlukan hadith-hadith palsu, kerana al-Quran dan al-Sunnah yang thabitah sudah memadai. Apabila mereka tidak dapati bagi dakwaan-dakwaan mereka sumber pegangan Islam yang menyokong mereka, mereka terpaksa membuat cerita-cerita, atau riwayat-riwayat dusta yang sebahagian disandarkan kepada Nabi s.a.w.

Secara umumnya fokus-fokus utama Syi‘ah dalam membuat memalsukan hadith ialah kepada perkara-perkara berikut;

i. Mengenai kelebihan-kelebihan ahli al-Bait. Tumpuan utamanya ialah Saiyyidina ‘Ali bin Abi Talib.

Kata al-Imam Ibn Jauzi: “Riwayat kelebihan-kelebihan ‘Ali yang sahih itu banyak. Namun Syiah masih tidak puas hati lalu mereka membuat hadith-hadith palsu untuknya dan tidak mengambil apa yang sahih”57. Dalam mengangkat ‘Ali dan kaum keluarganya –lebih daripada apa yang dinyatakan oleh RasululLah sa.w., Syiah telah membuat puluhan ribu hadith-hadith palsu. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (w. 751H): “Adapun apa yang golongan Rafidah palsukan mengenai kelebihan-kelebihan ‘Ali terlalu untuk dihitung. Kata al-Hafizd Abu Ya’la al-Khalili dalam kitabnya Al-Irsyad : Rafidah telah memalsukan hadith mengenai kelebihan-kelebihan ‘Ali dan ahli al-Bait sekitar tiga ratus ribu hadith”. Kata Ibn Qayyim: “Jangan kamu hairan dengan kenyataan ini, jika kamu meneliti apa yang ada di sisi mereka (rafidah) nescaya kamu dapati seperti yang dia katakan58.

Antara yang dipentingkan Syiah ialah membuktikan ada wasiat khas Nabi s.a.w untuk ‘Ali sebagai pengganti baginda. Dengan itu mereka akan mencipta hadith-hadith yang kononnya baginda s.a.w menyebut ‘Ali sebagai wasiyyi, atau tempat rahsiaku, atau penggantiku dan seumpamanya59.

Contohnya: kononnya Nabi s.a.w bersabda60 :

(Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga ‘adn yang ditanam oleh tuhanku maka hendaklah dia mengangkat ‘Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmu. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku)

Ini adalah hadith palsu, sanadnya gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Selainnya nama-nama para perawi tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa al-Ta’dil.61

Malangnya , seorang syiah rafidah seperti al-Tijani al-Samawi dalam bukunya Thumm Ihtadait62 membohongi pembaca kononnya antara sumber hadith ini ialah al-Hakim dalam al-Mustadrak, Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah 63. Padahal kedua-dua sumber tersebut sama sekali tidak menyebut hadith ini. Inilah syiah yang alirannya dibina di atas pendustaan dan pemalsuan. Demikian juga tokoh syiah yang terkenal ‘Abd al-Husain al-Musawi menyebut hadith ini dalam dialog rekaannya Al-Muraja‘at yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dengan nama “Dialog Sunnah-Syiah”, dan cuba menjadikan hujah kebenaran aliran karut yang dianuti.

Contoh lain:

(Daripada Ibn ‘Abbas r.ahuma., katanya: “Akan berlaku fitnah, maka hendaklah kamu berpegang dengan al-Quran dan ‘Ali bin Abi Talib. Sesungguhnya aku mendengar RasululLah s.a.w bersabda –sambil memegang tangan ‘Ali: “Inilah orang yang pertama beriman dan bersalam denganku, dia adalah faruq (pemisah antara yang benar dan salah) umat ini, dia pemimpin golongan mukminin dan harta, pemimpin kegelapan, dia adalah al-Siddiq (yang sangat membenarkan ajaran Nabi s.aw.) yang paling utama, dia adalah khalifah selepasku).

Ini adalah hadith palsu yang datang melalui seorang rafidi yang keji ‘Abd Allah bin Dahir bin Yahya bin Dahir al-Razi64. Kebanyakan yang beliau riwayat ialah mengenai kelebihan-kelebihan Sayyidina ‘Ali65.


ii. Perkara-perkara luar biasa dan ajaib mengenai imam-imam mereka.

Mereka membuat hadith-hadith palsu yang menggambar imam-imam mereka mempunyai perkara luar biasa yang tidak tercapat oleh sesiapa pun di kalangan makhluk. Bahkan mereka mencipta riwayat-riwayat yang palsu yang menjadikan imam-imam mereka lebih daripada seorang nabi bahkan memiliki sifat-sifat ketuhanan.

Usul al-Kafi ialah kitab hadith yang paling dipercayai dan dipegang di dalam syiah. Penulis kitab ini ialah al-Kulaini (w. 328H/ 329H). Kitab ini adalah karangan dan himpunan riwayat-riwayat apa yang dianggap sebagai hadith atau setaraf dengannya oleh beliau. Ini adalah sumber rujukan paling tinggi di dalam syiah. Kata tokoh syiah, Dr. Husain ‘Ali Mahfuz ketika memberikan kata aluan kepada kitab Usul al-Kafi: “Sesungguhnya golongan imamah dan majoriti syiah bersepakat mengutamakan kitab ini (Usul al-Kafi), berpegang dengannya dan berpada dengan hukum-hakamnya. Mereka sehingga ke hari ini bersepakat mengakui ketinggian kedudukan dan kemuliaan kitab ini bahawa ianya adalah pusat yang berputar di sekelilingnya riwayat-riwayat para thiqat yang terkenal dengan dabit66 dan itqan (teliti). Usul al-Kafi di sisi mereka adalah kitab yang paling indah dan utama dibandingkan kesemua kitab-kitab hadith”67.

Dalam kitab ini penuh dengan riwayat-riwayat yang mengangkat para imam melebihi kedudukan yang seorang atau setaraf dengannya.

Tadi telah disenaraikan beberapa contoh tajuk-tajuk yang ada di dalam Usul al-Kafi yang mengangkat para imam mereka setaraf dengan para rasul bahkan lebih daripada mereka. Di sini disebut beberapa contoh tambahan yang lebih dahsyat dalam memberikan sifat-sifat imam-imam mereka:

a) Ilmu para imam sama dengan malaikat dan seluruh para nabi dan rasul

Kata al-Kulaini:

(Bab: Sesunguhnya para imam mengetahui semua ilmu yang dikeluarkan kepada para malaikat, para nabi dan rasul).

Di bawah bab ini ada empat riwayat yang menegaskan hal tersebut. Kesemuanya daripada para imam, bukan disandarkan kepada Nabi s.a.w.


b) Para imam mengetahui bila mereka akan mati dan hanya mati dengan pilihan mereka

Kata al-Kulaini:

(Bab: Sesungguhnya para imam (a.s.) mengetahui bila mereka akan mati, dan mereka tidak akan mati melainkan dengan pilihan mereka).

Di bawah tajuk ini ada lapan riwayat palsu yang mengaitkan hal ini.


c) Para imam mengetahui segala apa yang telah dan akan berlaku sehingga kiamat

Kata al-Kulaini:

(Bab: Sesungguhnya para imam mengetahui ilmu apa yang telah berlaku dan akan berlaku. Tiada suatu yang tersembunyi daripada pengetahuan mereka).

Di bawah bab ini ada enam riwayat yang menggambarkan sifat-sifat ketuhanan yang diberikan kepada para imam mereka. Misalnya pada riwayat pertama daripada Ja’far al-Sadiq kononnya menyatakan:

(Jika aku berada di antara Musa dan Khidir, nescaya aku akan beritahu mereka bahawa aku lebih mengetahui daripada mereka dan aku akan memberitahu apa yang mereka tidak tahu. Ini kerana Musa dan Khidir hanya diberi ilmu apa yang telah berlaku. Mereka tidak diberikan ilmu apa yang sedang dan akan berlaku sehingga hari kiamat. Sesungguhnya kami mewarisi ilmu itu daripada RasululLah s.a.w.).

Kita tahu bahawa kenyataan-kenyataan yang seperti menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah yang thabitah. Mereka telah memberikan kepada para imam mereka ilmu-ilmu tentang perkara yang tidak diketahui melainkan. Allah s.w.t menyebut dalam al-Quran, Surah Luqman: 34 :

(maksudnya): Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dialah yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

Firman Allah lagi, Surah al-An‘am: 59 :

(maksudnya): Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

Bahkan al-Quran menyatakan Nabi s.a.w tidak mengetahui yang ghaib. Firman Allah, Surah al-Anfal: 188 :

(makasudnya) Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

Ini semua membuktikan bahawa riwayat-riwayat ini adalah dusta. Mustahil para imam yang terkenal dengan iman dan taqwa menyebut dan mendakwa diri mereka seperti itu semua. Sebab itu antara ulama hadith ada yang menyatakan71 :

(Apabila engkau melihat sesebuah hadith menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadith yang palsu).


d) Memalsukan riwayat-riwayat yang mencerca atau menggambarkan keburukan para sahabah yang dianggap tidak membela Saiyyidina ‘Ali

Maka mereka mencipta hadith-hadith palsu yang memperkecilkan, atau mengutuk Abu Bakr dan ‘Umar, hadith-hadith palsu yang mengutuk dan melaknat Mu`awiyah bin Abi Sufyan dan mereka yang bersamanya. Kata al-Siba‘i: “Seperti mana mereka membuat hadith-hadith palsu mengenai kelebihan ‘Ali dan Ali al-Bait, demikian juga mereka membuat hadith palsu yang mencerca para sahabah, khas syeikhain (Abu Bakr dan ‘Umar) dan para pembesar sahabah”72.

Justeru itu kita dapati kitab-kitab Syiah dipenuhi dengan hadith-hadith, sama ada bersandarkan Nabi s.a.w, atau para imam mereka yang mengutuk, mencerca melaknat dan mengkafirkan para sahabah. Riwayat-riwayat ini jika hendak dicatatkan terlalu banyak. Ianya seperti kata Dr. Nasir al-Qafari, mungkin memerlukan beratus-ratus muka surat. Kesimpulannya; riwayat-riwayat tersebut kebanyakannya menyatakan bahawa para sahabah selepas kewafatan Nabi s.a.w kesemuanya murtad kecuali tiga orang iaitu al-Miqdad bin al-Aswad, Salman al-Farisi dan Abu Zar al-Ghifari73.


e) Mencipta hadith-hadith yang menyokong pemikiran-pemikiran khurafat dan songsang demi menyokong idea-idea agama yang mereka cetuskan

Ini seperti hadith-hadith palsu mengenai al-Bada', al-Taqiyyah, al-Raj'ah dan tahrif al-Quran (penyelewengan al-Quran) lain-lain. Mereka memalsukan sebanyak-banyaknya riwayat-riwayat yang menyokong idea-idea sesat mereka.

Contohnya dalam masalah tahrif al-Quran; iaitu kepercayaan mereka bahawa al-Quran yang ada ini tidak lagi tulen, sebaliknya ianya telah diubah daripada yang asal. Mereka mengatakan bahawa lebih daripada dua ribu hadith yang membukti bahawa al-Quran telah diubah daripada yang asal. Bahkan para ulama mereka menganggap riwayat-riwayat yang membukti al-Quran yang ada sekarang telah kurang isi kandungannya dan diubah adalah mutawatir74.

Sehingga tokoh dan imam ulama hadith Syiah, Husain al-Nuri al-Tabarasi (w 1320H) menulis kitab yang diberi nama (Kata pemutus yang membuktikan pengubahan kitab Allah). Di dalam disebut ribuan hadith palsu yang membuktikan al-Quran tidak lagi asal, bahkan telah diubah dan ditokok tambah. Al-Syeikh Ihsan Ilahi Zahir telah menukilkan secara asli sebahagian besar kitab ini ke dalam buku.


Penutup

Inilah penerangan ringkas mengenai Syiah dan pemalsuan hadith. Kertas-kerja ditulis dengan ringkas, walaupun sebenarnya masih banyak yang perlu diperkatakan mengenai tajuk ini

No comments:

Post a Comment